Jumaat, 21 Oktober 2011

Penggunaan perkataan Agen, Ejen dan Agenda

Dalam bahasa Malaysia kita sering keliru semasa menggunakan beberapa perkataan seperti perkataan agen, ejen dan agenda. Mari kita perhatikan perbezaan ketiga-tiga perkataan tersebut.

1. Agen
  1.1  Dalam istilah sains agen (agent) bermakna bahan atau organisma yang dapat mempengaruhi atau dapat  memberi kesan langsung kepada sesuatu tindak balas atau yang menyebabkan berlakunya sesuatu.
contoh : Agen pengoksidanan bermaksud agen yang mendermakan oksigen kepada unsur atau sebatian ialn sewaktu tindak balas kimia.

2. Ejen
  2.1 Ejen bermaksud orang  dan lain-lain yang menjalankan perniagaan untuk orang lain, atau wakil dalam urusan jual beli atau dalam perdagangan.
contoh : ejen jualan barangan elektrik, ejen perkapalan, dan lain-lain.
Contoh ayat : Barang-barang gudang kalau dibeli daripada ejennya tentu lebih murah.

  2.2 Ejen juga mambawa maksud orang yang diupah (digaji) untuk melakukan sesuatu pekerjaan untuk orang lain.
contoh : ejen rahsia, ejen musuh
Contoh ayat : Beberapa  orang ejen musuh telah ditembak mati oleh pasukan tentera.

3. Agenda
   3.1 Agenda bermaksud program sesuatu mesyuarat yang formal sifatnya.
         Ini bermakna dalam sesuatu mesyuarat ada satu agenda sahaja. Dalam sesuatu agenda ada beberapa perkara untuk dibincangkan dalam mesyuarat.
contoh : Agenda Mesyuarat Jawatankuasa Bilangan 2 Persatuan Belia.
             1. Ucapan  alu-aluan Pengerusi
             2. Membentang dan mengesahkan minit mesyuarat JK kali pertama
             3. Perkara Berbangkit
             4. Kegiatan sukan
                 4.1 Sukaneka
                 4.2 pertandingan futsal
              5.Lain hal-hal
 *Jadi, sebenarnya Mesyuarat Jawatankuasa Bilangan 2 Persatuan Belia ini mempunyai satu agenda.
 * Bilangan 1 hingga 5 dalam agenda ialah perkara yang dibincangkan.
 * Sementara 4.1, 4.2 dalam perkara 4 ialah perkara kecil (subperkara)

 # Maka tidaklah betul jika kita mengatakan ' Agenda pertama ialah ucapan aluan pengerusi; agenda kedua   membentangkan dan mengesahkan minit mesyuarat ,.................................'

# Jika kita mengatakan demikian bererti ada tiga mesyuarat yang berasingan berlangsung satu demi satu, dan ahli-ahli yang sama mrnghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut.

#  Sepatutnya kita mengatakan ' perkara pertama dalam agenda mesyuarat kali ini ialah ucapan aluan pengerusi, perkara kedua membentangkan dan mengesahkan minit mesyuarat,...............................'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan