Rabu, 9 November 2011

Penggunaan perkataan sekali, sekali-kali, dan sekali-sekali

Kali ini mari kita lihat kata terbitan berimbuhan awalan se iaitu sekali, sekali-kali, dan sekali-sekali. Ketiga-tiga bentuk kata ini sering disalahgunakan menurut konteks maknanya.

Ketiga-tiga perkataan ini terbit daripada kata dasar kali.

1. Perkataan sekali boleh mendukung beberapa maksud antaranya ' satu kali', 'seluruh atau semuanya' dan 'terlalu atau sangat'.

 Teliti perbezaan maksudnya :

* Hari Ibu disambut setahun sekali.
* Mereka menggali lubang itu untuk mengambil harta yang terlonggok di dalamnya sekali.
* Gunung Tahan ialah gunung yang tertinggi sekali di Semananjung Malaysia.

2. Perkataan sekali-kali pula membawa maksud 'sama sekali' atau' langsung' atau' sedikit pun'.
3. Perkataan sekali-sekali pula bermaksud 'kadang-kadang' atau 'ada kalanya'. Maksud kadang-kadang dan adakalanya terkandung dalam perkataan sesekali dan sekali-sekala.

Teliti perbezaan penggunaan perkataan sekali-kali dan sekali-sekali.

* Anak-anak kecik perlu dinasihati agar jangan sekali-kali berbohong kepada ibu bapa.
* Sekali-sekali pemuda itu menjeling ke muka gadis yang diminatinya itu.



Mari kita lihat beberapa maksud perkataan kali :

1. Kata kali bermaksud 'darab' iaitu mendarabkan jumlah nombor. Perkataan kali juga membawa maksud 'sungai'. Kalau perkataan kali digandakan menjadi kali-kali bermaksud 'sifir' iaitu daftar hasil darab yang tersusun.

2. Kata kali juga boleh membentuk perkataan kalian, sekalian, perkalian, pengali, dan pekali.

    2.1 Kalian  ialah bahasa percakapan bermaksud 'awak semua'
    2.2 Sekalian bermaksud 'semuanya' atau 'segala'.

Contoh ayat :

* Kalian memang begitu, adik-beradik sama sahaja.
* Kami mempersilakan anda sekalian ke majlis penyampaian hadiah ini.

    2.3 Pengali atau perkalian bermakna 'pendarab' atau 'hasil darab'.
    2.4 Pekali pula mambawa maksud 'angka yang ditulis sebelum sesuatu lambang' dalam ayat matematik.

Contoh soalan :  Dalam 6ab, 6 ialah pekali bagi ab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan