Khamis, 24 November 2011

Apa Tujuan Kita Berbahasa

Kebanyakan orang kurang faham tentang peranan sebenar bahasa. Bagi pelajar  mengaitkan bahasa hanya digunakan dalam karangan dan perkara-perkara yang wajib dipelajari sewaktu belajar. Misalnya tentang fungsi imbuhan, bagaimana hendak menulis karangan atau menjawab soalan pemahaman. Bagi masyarakat pula, melihat bahasa dari segi pertuturan yang melibatkan bahasa daerah, dialek atau loghat. Misalnya dialek kelantan, dialek Kedah dan sebagainya.

Ada pula yang mengaitkan bahasa merupakan alat untuk berhubung dan berkomunikasi seperti menyampaikan maklumat , idea dan perasaan. Sebenarnya bahasa ialah satu saluran yang digunakan oleh masyarakat atau komuniti untuk berinteraksi, bermesra, dan juga untuk lebih daripada itu seperti bergaduh. Tanpa bahasa manusia masih boleh berhubung tetapi dengan cara yang tidak sempurna.

Pernahkah kita melihat bagaimana dua orang bisu atau pekak berinteraksi atau berhubung ? Mereka tidak boleh bercakap, tetapi masih boleh berhubung dengan menggunakan bahasa isyarat melalui pergerakan tangan  dan jari yang mempunyai maksud tertentu.

Maka sedarlah hakikat bahawa bahasa itu merupakan saluran untuk manusia berhubung. Maka perlu disedari bahawa kesempurnaan bahasa amat penting kerana bahasa yang sempurna akan menentukan mesej yang diterima juga sempurna. Jika bahasa itu tidak sempurna, maka pendengar akan keliru kerana maknanya kurang jelas.

Demi kejelasan makna dan keberkesanan perhubungan, kita hendaklah menggunakan bahasa denggan baik dan tepat. Baik dan betul bermaksud bahasa yang digunakan tidak mempunyai kesalahan dan sempurna sifatnya seperti memilih perkataan yang tepat dan penyampaian maklumat tersusun dengan ayat yang baik.

Dalam penggunaan bahasa, kesempurnaan juga dapat dilihat daari segi keindahannya. Bahasa yang indah ialah bahasa yang mempunyai unsur-unsur atau laras bahasa yang menarik yang memperlihatkan ciri-ciri estetik yang tinggi. Gunakanlah bunga bahasa seperti bahasa kiasan, puisi seperti pantun dan sebagainya.

Setiap hari kita berhubung dengan manusia, sudah semestinya bahasa digunakan. Jika baik dan betul bahasa yang digunakan akan memudahkan perhubungan dan perhubungan yang berlaku lebih berkesan. Jika mesej yang ingin disampaikan berkesan sudah pasti perhubungan juga berkesan.

Dalam konteks penggunaan bahasa dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Maklumat yang hendak disampaikan perlu padat dan disusun dengan rapi. Keadaan ini akan membantu memudahkan penerimaan ilmu dengan berkesan. Jika banyak kesalahan bahasa dalam penyampaian ilmu  maka hasil penerimaannya juga kurang berkesan.

Kesimpulannya, bahasa merupakan alat yang penting untuk berhubung dan sebagai saluran atau wahana ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu kita harus tahu tentang peraturan-peraturan penggunaan bahasa serta tahu aspek keindahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan